Isnin, 15 Mac 2010

insan dan perjuangan..!!!


Manusia hidup sebagai pejuang. Kehidupan manusia adalah sebuah perjuangan. Seperti tumbuhan dan haiwan serta benda-benda hidup yang ada di atas muka bumi ini, manusia juga berjuang untuk mendapatkan keperluan asasi.

Sebuah pokok durian akan berjuang untuk mendapatkan cahaya yang cukup untuk melakukan proses fotosintesis. Perjuangan itu didahului dengan perjuangan mendapatkan bekalan air dan mineral serta ruang yang cukup untuk tumbesaran. Seterusnya berjuang untuk mendapatkan bekalan gas karbon dioksida bagi melengkapkan proses fotosintesis hasil bantuan tenaga cahaya dan klorofil yang menukarkan air kepada oksigen dan hidrogen, serta glukosa sebagai hasil akhir kepada proses fotosintesis tersebut.

Tumbuhan-tumbuhan akan bersaing sesama sendiri. Maka sunnatuLlah menetapkan tumbuhan yang paling kuat daya hidupnya(survival) akan meneruskan kehidupan masing-masing. Maha Suci Allah yang juga menciptakan tumbuhan dengan kelengkapan dan keistimewaan tersendiri. Ada tumbuhan yang menumpang, disebut sebagai parasit mahupun saprofit. Ada juga yang menjalar, ada yang berakar cerucuk dan sebagainya sesuai dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Tumbuhan-tumbuhan bersaing di atas padang yang sama rata.

Dunia haiwan pula tidak banyak bezanya dengan manusia. Dengan jenis keperluan dan kemampuan pergerakan yang hampir sama dengan manusia, saintis barat seperti Charles Darwin sering mengaitkan manusia dengan haiwan dari segi biologi. Tidak kurang ahli falsafah yang mengaitkan manusia dengan haiwan dari segi psikologi, misalnya Lord Acton yang menyatakan, ”human is politically animal”.

Haiwan berjuang untuk kelangsungan hidup masing-masing. Seekor lembu, walaupun dengan mukanya yang sentiasa berada dalam ”kemalasan” hakikatnya sentiasa berjuang untuk hidup. Melangkah dengan kaki yang empat untuk mencari rumput yang enak dan berkhasiat. Walaupun sentiasa dilanggar kereta ketika melintas, lembu juga punya deria dan daya untuk mengelakkan diri daripada bahaya. Bagi yang sering memandu di kawasan penternakan lembu, saya yakin mereka akan bersetuju dengan saya.

Walau sekecil mana sekalipun benda hidup itu, setiap satunya akan berjuang dalam konteks dan di lapangan masing-masing.

Apalagi manusia, yang dijadikan Allah dengan sebaik-baik ciptaan. Saintis menamakan spesies manusia ini dengan Homo sapiens. Menurut mereka, yang masih terpengaruh dengan teori darwin, homo sapiens merupakan jolokan yang diberikan kepada manusia berdasarkan maknanya iaitu ”haiwan beruk yang bijak”.

Manusia merupakan benda hidup yang sehingga ke hari ini gagal ditandingi oleh mana-mana haiwan dari segi kedudukannya sebagai Raja Benda Hidup di atas planet yang bernama Bumi. Meski beribu-ribu saintis cuba mencabar kebenaran ayat Allah

”Sungguh, kami telah ciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baik ciptaan,” Surah At-Tin, 95:4,

Sehingga ke hari ini, mereka masih gagal menampilkan calon yang lebih baik daripada diri mereka sendiri untuk dinobatkan sebagai Raja di Bumi. Peliknya, sehingga ke hari ini, mereka masih berusaha malah bersungguh-sungguh mahu mencari calon yang dapat menggantikan manusia.

Berbalik kepada persoalan manusia sebagai pejuang. Maka sebagai raja, sudah tentunya perjuangan yang akan dilalui oleh manusia adalah jauh lebih payah dan sukar berbanding makhluk-makhluk lain. Manusia bukan sahaja perlu berjuang untuk dirinya sendiri, malah telah diamanahkan untuk berjuang demi manusia-manusia lain serta seluruh isi bumi ini. Di dalam contoh di atas, pokok durian dan lembu hanya berjuang untuk dirinya dan terhenti ke atas zuriat premier yang ”mereka” lahirkan semata-mata.

Manusia bertanggungjawab terhadap keseluruhan zuriat, bahkan bertanggungjawab untuk menjaga manusia-manusia yang bukan dari zuriatnya sendiri.

Pengkelasan manusia dibahagikan kepada 4 kategori. Pertama jasmani. Keperluan jasmani merangkumi keperluan makan, minum, kesihatan dan perkara-perkara yang bersifat fizikal. Kita perlu berjuang untuk mendapatkan tubuh badan yang sihat dan ideal, seterusnya diamanahkan pula untuk menjaga supaya tahap kesihatan fizikal berada di tahap yang baik. Jika lapar kita makan, rambut serabai disikatkan, jika ngantuk kita tidur, penat berlari kita berjalan, terluka ditusuk duri kita sapukan ubat, malah apabila badan berbau, secara automatiknya kita akan mandi dan mengenakan wangi-wangian.

Pengurusan emosi pula dikaitkan dengan psikologi iaitu merujuk kepada kawalan perasaan. Kita berjuang untuk hidup gembira dan bebas daripada tekanan. Berjuang untuk dicintai dan mencintai. Berjuang untuk berasa selamat dan tenteram. Berjuang untuk hidup rukun dan damai sesama manusia juga sesama makhluk lain yang turut menumpan di bumi Allah ini. Mereka yang secara psikologinya ”gila” adalah mereka yang tidak mempunyai keinginan-keinginan di atas. Jika anda tidak berhajat kepada hubungan yang baik sesama manusia, maka anda secara emosinya adalah ”kurang manusia” berbanding manusia-manusia yang lain.

Tidak hairanlah sekiranya Ahli Parlimen yang lompat parti digelar sebagai katak. Ini kerana, mereka dari segi prinsip perjuangan kemanusiaannya adalah setaraf dengan katak.

Ada juga nilai-nilai emosi yang tidak kurang pentingnya seperti ”self esteem” iaitu menghargai diri sendiri, ”empati” dapat merasakan dan menyelami perasaan orang lain, ”simpati” merasa belas terhadap orang lain. Serta banyak lagi perkara-perkara emosi yang menjadikan manusia itu semakin tinggi nilai kemanusiaannya.

Kita juga perlu berjuang untuk kelangsungan akal. Disebut sebagai kawalan intelektual, merujuk kepada kemahiran berfikir. Dikelaskan pula kepada dua jenis kemahiran berfikir iaitu secara vertikal dan lateral iaitu kemampuan membuat analisis untuk mencari jawapan betul atau salah, serta mencari jalan untuk menyelesaikan sesuatu masalah dengan cara yang terbaik.

Perjuangan intelektual ini membantu manusia membantu manusia menyelesaikan masalah yang dihadapi. Seseorang yang memperolehi kemahiran berfikir sanggup dan cekap dalam menyusun maklumat, konsep atau idea secara yang teratur dan membuat kesimpulan atau keputusan yang tepat untuk tindakan yang berkesan.

Kemahiran berfikir akan membantu manusia mencari jalan-jalan penyelesaian terhadap sebarang konflik dan masalah yang dihadapinya. Justeru manusia berjuang untuk menuntut ilmu dan mengembara untuk mendapat pengetahuan yang luas mengenai kehidupan. Semakin banyak dia menuntut, semakin luas dia mengembara, maka semakin tinggilah keupayaannya untuk berfikir. Walaupun kemahiran berfikir ini juga, pada hakikatnya memerlukan kepada proses dan alat-alat yang berkesan dan tepat.

Setelah itu, tingkatan paling tinggi dalam perjuangan manusia ialah perjuangan rohani. Saintis sekular cuba menggantikan istilah rohani ini dengan persoalan moral. Ini kerana mereka sedaya upaya cuba memisahkan Islam dari cara hidup manusia. Percubaan mereka gagal seperti mana biasa kerana persoalan moral tertakluk kepada interpretasi manusia dan tidak bersifat tetap mahupun universal.

Persoalan rohani, merupakan persoalan universal yang bersangkutan dengan keimanan manusia terhadap perkara-perkara ghaib. Keimanan terhadap perkara-perkara ghaib akan membantu manusia membuat keputusan yang PALING TEPAT. Keadaan semasa msyarakat membuktikan fakta ini apabila berlakunya jenayah kolar putih, sebagai merujuk kepada jenayah yang dilakukan oleh mereka yang mempunyai jawatan tinggi dan daripada bidang-bidang profesional.

Sebagai contoh, ribuan jurutera terlibat dengan rasuah, sehingga menyebabkan kerugian dan kemalangan nyawa. Padahal seseorang jurutera profesional itu sudah semestinya mempunyai kemahiran intelektual yang tinggi.

Dunia mula mengiktiraf akhlak sebagai cabang ilmu yang penting apabila mula memperkenalkan ”Etika dalam profesion”. Malah mula memberi penekanan dan kajian terhadap ”natural justice” apabila konsep ”rule of law” yang diperkenalkan gagal menyelesaikan masalah kezaliman manusia ke atas manusia yang lain mahupun ke atas alam ciptaan Tuhan ini.

Justeru, saya perlu sedar bahawa tugas perjuangan ini telahpun saya pikul seawal nafas saya yang pertama di bumi ini. Ianya akan terus dipikul sehinggalah degupan jantung ini dihentikan oleh Yang Meminjamkan Jantung ini kepada saya. Saya bertanggungjawab terhadap kelangsungan fizikal, emosi, intelek, juga rohani diri saya, juga kelangsungan perjuangan segala jenis haiwan dan tumbuhan di atas muka bumi ciptaan Allah ini.

Secara PANJANG dan LEBAR ulasan mengenai PERJUANGAN ini benar-benar membuka mata saya bahawa saya perlu terus BERJUANG untuk hidup.

Bahkan sebagai seorang yang beriman bahawa TIADA TUHAN YANG LAYAK DISEMBAH MELAINKAN ALLAH, dan NABI MUHAMMAD ITU PESURUH ALLAH, saya harus terus berjuang sehingga saya mati, tidak keterlaluan untuk saya katakan berjuang untuk mati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan