Khamis, 30 September 2010

Taubat Seorang Pejuang – Ustaz Nasaruddin Tantawi

Masih terngiang – ngiang di telinga saya , perkataan yang pernah dipopularkan oleh al Imam Hassan al Hudhaibi . Perkataan ini sering diulang – ulang oleh naqib saya Syeikh Ahmad Laasyin ( beliau pernah dipenjara bersama Asy Syahid Syed Qutb Rhm ) , dulunya beliau adalah Imam Masjid Syahid di Tanta .

Saya lekatkan banner perkataan tersebut di dinding rumah saya sewaktu menginap di Syari’ al Hulwa berhadapan dengan Madrasah Jil Muslim lil Banat di Tanta satu masa dulu . Masih segar pastinya dalam ingatan ini bersama rakan – rakan seperjuangan yang sangat menghayati makna dan maksud perkataan tersebut.

Perkataannya ringkas tapi nyata ia cukup besar maknanya bagi diriku sebagai seorang pejuang . Ianya bagai satu energy yang cukup luar biasa bagi diri saya sewaktu meredah segala cabaran dan merempuh segala halangan untuk berjaya mencapai status seorang pejuang.

Juga masih dalam ingatan ini , sewaktu kami para nuqaba’ menjalani terapi muhasabah di satu subuh yang hening . Naqib saya masa tu Ust. Musthafa Saari dibantu Ust. Zulqarnain Hassan telah membuat dua garis . Satu garis permulaan dan satu lagi garis akhir . Jarak antara garis mula dengan garis akhir sekitar 10 kaki ( lebih kurang 20 tapak ) .

Kami lebih kurang 12 orang ( kalau tak salah ingatan saya ) berbaris digaris mula dengan arahan supaya memberi fokus kepada setiap tapak yang akan kami lakukan menuju ke garis akhir . Itu pun kalau setiap aktiviti dan amal Islami yang dibacakan oleh Naqib satu persatu dengan penuh tertib telah dilakukan oleh kami secara jujur dan benar .

Setiap amal dan aktiviti yang tidak kami lakukan , pastinya ia mematikan langkah kami . Ada 20 amal dan aktiviti yang dibacakan oleh Naqib dan memadai dengan 20 langkah untuk kami sampai ke garis akhir dengan satu amal yang dilaksana bersamaan satu langkah .

Ayat tema kepada terapi muhasabah ini adalah perkataan yang saya maksudkan tadi :
أقيموا دولة الإسلام في قلوبكم تقم على أرضكم
Tegakkanlah Negara Islam di dalam diri kamu nescaya ia akan tertegak di atas tanahair kamu.

Terapi Muhasabah yang Menginsafkan

Di pertengahan jalan menuju ke garis akhir , nyata waktu itu saya agak terkebelakang berbanding sahabat – sahabat yang lain seperti meluru laju kerana setiap amal yang disenaraikan oleh Naqib rupanya dilakukan oleh mereka dengan baik . Sementara saya gagal dalam banyak amal Islami yang sepatutnya menjadi kewajipan kepada kami para nuqaba’ melakukannya.

Ya, saya masih ingat bagaimana saya gagal untuk puasa isnin dan khamis malah saya juga gagal menginfaqkan sebahagian harta yang saya miliki pada minggu tersebut. Kegagalan demi kegagalan sudah pasti mematikan langkahan saya dan akhirnya saya mula menyedari bahawa kedudukan saya dengan garis akhir agak jauh .

Kedudukan ini tentu sahaja menyebabkan naqib saya (amir) tidak berpuas hati dengan prestasi saya selaku salah seorang dari para nuqaba’ harapannya.

Lalu saya disergah oleh Ust. Musthafa . ” Ust. Din ! anta tengok kedudukan anta sekarang , masih terlalu jauh untuk sampai ke garis akhir ! Anta tahu apa maksudnya ? Maksudnya anta gagal untuk layak sebagai seorang pejuang ! “

Saya cuba bertahan . Menahan gelora emosi yang mula diserang rasa bersalah kerana mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang pejuang .

Ust Zulqarnain menambah : ” Ust. Din , kalau macam ni keadaan anta macam mana anta nak jadi pemimpin ? Memimpin Gerakan Islam tidak seperti memimpin persatuan kebajikan ! Kenapa minggu ini prestasi amal anta terlalu lemah ? anta lupa tanggungjawab ? anta bermain – main dengan perjuangan ini ? anta ingat nak jadi pejuang cukup setakat pandai pidato ? kemana perginya semua taujihat yang kami berikan kepada anta selama ini ? “

bertalu – talu persoalan diterjah kepada saya oleh Ust Zulqarnain . Perasaan saya makin sukar dikawal dan akhirnya dalam suasana yang penuh hening disubuh hari , saya menangis kesal . saya meraung penuh insaf .

Suasana agak emosional , saya hampir pengsan dalam esakan yang cukup memilukan , mengenang diri yang nyata tidak layak untuk menjadi seorang pejuang sedang saya selalu mendambakan status sebagai seorang pejuang , malah saya bangga memperkenalkan diri kepada sahabat – sahabat bahawa saya adalah seorang pejuang . Saya malu …

Saya ingat lagi , agak lama juga saya diselubungi rasa bersalah dan saya menangis dan terus menangis sehingga memaksa rakan – rakan anggota madrasah Nuqaba’ yang turut menyertai Terapi Muhasabah itu , memujuk dan menyabarkan saya .

Demikian secebis kenangan 14 tahun yang lalu sewaktu saya direkrut dan dikaderkan oleh abang – abang yang lebih senior dalam perjuangan ini . Sebahagian mereka kini menjadi pemimpin , memimpin Gerakan Islam di negeri masing – masing . Pun turut di akui , ada juga mereka yang dulunya mentarbiyah saya , kini mereka hilang dari peta rajah perjuangan di tanahair hari ini . Mungkin mereka berjuang di luar negara . Wallahua’alam .

Bukan Zaman Rekrut
Sekarang saya dan kita semua berada di medan berbanding sebelumnya kita bagaikan berada di kem . Ertinya kita bukan lagi berada di madrasah nuqaba’ dan tidak juga berada di dalam tamrin panjang ( mua’skar ) yang mana kita dibina , dilatih , dibentuk , dikader , ditegur , dimarah , dibimbing , dipimpin , diajar dan dinasihat oleh pimpinan .

Hari ini kita bergerak meredah cabaran dan menyerap tekanan dengan tahap upaya sendiri berbekalkan skima pentarbiyah yang telah diambil sejak sekian lama .

Cukup lama diri ini tidak ditegur , dididik , dimarah , dibimbing , dinasihat , diajar dan dikader seperti dulu . Logiknya , kalau dulu pun ( dalam suasana pengkaderan ) saya masih gagal dalam banyak aktiviti amal islami , bagaimana saya boleh berjaya dalam suasana begitu lama saya tidak dibimbing dan ditegur ?

Taubat
Sukar sungguh untuk layak jadi pejuang yang tangguh dan tahan uji . Mungkin saya boleh berjaya dalam satu bahagian tetapi gagal dalam banyak bahagian yang lain . Berhadapan pula dengan tekanan dan cabaran dari luar serta tidak kurang karenah dalaman yang cukup menguji kesabaran .

Antara yang membuat diri ini sering gagal ialah keupayaan dan stamina diri yang masih lemah dalam menangkis serangan kemahuan ( nafsu ) yang datang dari diri sendiri . Ianya sering memerangkap dan menjadikan diri ini leka dan lalai dari tanggungjawab dan amanah sebagai seorang pejuang dan pemimpin .

Banyak sungguh dosa diri ini ! Ya Allah , Ampunkan daku ! Syaithan tentu saja gembira dengan perkembangan ini . Ya Allah ! Janganlah Kau biarkan diriku yang lemah ini terkapai – kapai dihanyutkan arus leka dan lalai dibuai nafsu .

Ya Rabbi Ya Allah ! Kurniakan hidayahMu buat diri ini agar aku mampu thabat di atas landasan perjuangan suci ini . Biarpun aku tidak layak menjadi pemimpin tetapi jangan sekali – kali kau biarkan aku tidak layak untuk menjadi pejuang agamaMU ya Allah !

Isnin, 6 September 2010

Mengapa Wanita Memerlukan Lelaki?

Wanita tidak semestinya memerlukan lelaki, tetapi wanita dan lelaki saling memerlukan, cinta itu anugerah.

Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya? Untuk beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala.

Ya, apa perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya kepada tangan seorang lelaki?

Bukankah lebih hebat jalan dihujung minggu bersama kawan rapat, berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang saling tidak putus dan tidak lokek senyum tanda salam perkenalan.

Saya mempunyai seorang rakan, sederhana cantik, tidak terlalu kurus tidak terlalu gemuk, tidak terlalu buruk, tidak terlalu jelita, manisnya ada, santunnya memikat orang tua, beragama juga kerana selalu sahaja diceritakan dia terhendap-hendap membawa sejadah masuk ke bilik stor kecil untuk solat, dan dia sentiasa cuba gembira dengan kehidupannya yang solo.

Tetapi saya fikir, saya faham apa yang berputar-putar dalam kepalanya.

Dia tidak dapat berdusta betapa kebahagiaan cinta kawan-kawan membuatnya cemburu, dan membuatnya selalu terfikir-fikir: Apalah perasaan gadis yang dipuja dan dicintai hebat oleh seorang lelaki.

Kawan, saya harap dia membaca artikel ini. Cinta tidak datang dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala kita mahukannya. Jika kita mahukan ia menjadi air, ia datang seperti api.

Tetapi, jika kita bersabar dan menerima ketentuan Tuhan, seorang lelaki yang baik akan didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang baik itu tidak turun dari langit.

Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan kepala berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak.

Tetapi lelaki yang baik, jika Tuhan mahukan dia menemani kita sepanjang hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian kalbu bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar kita dapat memperdalam selok belok agama yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana, dan memberikan kita zuriat yang halal lagi dirahmatiNya.

Dia akan datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih mengetahui.

Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang wanita seperti manusia kudung yang diberikan semula sebelah kakinya. Dia menyempurnakan kita.

Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan dua jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek, kita, wanita, harus bersedia menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.

Kerana apabila kita mempersilakan seorang lelaki duduk di samping kita untuk sepanjang hayat, bererti kita harus langsung juga mempersilakan sekian masalahnya berbaring di bahu kita.

Kerana itu tidak hairan jika kita mendengar ada di kalangan kita, gadis, yang merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap keperluan hidup lelaki tidak juga berkurangan walaupun belum lagi berkahwin.

Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia.

Tetapi lelaki juga mendatangkan sengsara. Namun jika kita bijak menatangnya, semuanya pasti baik-baik sahaja. Itulah adat dalam perhubungan. Yang buruk-buruk pasti ada.

Barangkali daripada si dia, barangkali juga daripada kita, tetapi kita harus cermat mengimbangkannya agar jodoh berkekalan ke hari tua.

Bagi yang sedang galak bercinta dengan lelaki permata jiwa tetapi menerima tentangan keluarga dua pihak, jika anda fikir anda tidak mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda menyerah kalah saja.

Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa.

Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa.

Bercakap soal kahwin, beberapa kenalan rapat yang dewasa bersama-sama.

Sejak zaman gatal-menggatal kenyit mengenyit kala di bangku pengajian, kini sudah disunting, dan bakal menjadi isteri kepada lelaki yang mereka cintai.

Semoga mereka tak tersalah pilih.

Dan semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami isteri.

Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang lelaki, kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita mampu menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia.

Kerana benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu diilhamkan Tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa.

Dan kerana Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, kita wanita, kita ini diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak terlalu gagah sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.

Tetapi kerana ciptaan Tuhan itu indah, kita terbit daripada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati untuk dimulia, disayangi dan dicintai.

Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya.

Tetapi kerana fitrah kejadian Tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus saja diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh melindungi, maka kita pun tidak selamanya mahu menjadi angin semata-mata.

Kita mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita mahu terus bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung, sehingga kita tua, rapuh dan mati.

Tetapi kita bahagia dalam dakapannya, semoga kita semua diketemukan dengan jodoh yang baik..InsyaAllah...

sumber: I LUV ISLAM

Selasa, 31 Ogos 2010

Ramadhanku 10 terakhir....


Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT telah memberikan aku kekuatan untuk menggerakkan tubuh ini untuk bangun bersahur pagi tadi.Bersykur sangat.pada masa yang sama aku sempat menunaikan solat subuh di surau An-Nur seksyen 1 Bandar Baru Bangi.

Satu kelainan dan " Zouq " yang dapat aku rasakan apabila solat subuh disitu.Jemaah subuhnya yang ramai terdiri daripada org tua,dewasa sehingga kanak2 kecil yg dilatih oleh ibu dan ayah mereka untuk bangun solat subuh berjemaah dimasjid.Terpana aku seketika.lantas fikiranku berfikir dan bertanya,mengapa jemaah ditempat aku tidak berlaku sedemikian...Ya Allah!!!!sungguh luar biasa jemaah subuh di bangi ini khususnya Surau an Nur.selesai sahaja solat subuh,tazkirah subuh disampaikan oleh seorang ustaz dari indonesia.ayat2 mativasi yg keluar dari mulutnya membuatkan aku benar2 termotivasi.Beliau (ustaz yg sy xtahu nama)bercakap soal tahajud.katanya,solat tahajjud sebagai kekuatan dalaman kita untuk kita hadapi cabaran global yang semakin mencabar dan memerlukan iman yang kuat untuk hadapinya.Ustaz juga kaitkan dengan tahajjud yg dilakukan nabi.Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah sabda nabi SAW,nabi tidak pernah tinggal 3 perkara iaitu Solat sunat tahajjud,solat sunat dhuha,dan puasa isnin dan khamis.walaupun hanya beberapa minit sahaja tazkirah beliau,tapi menusuk Qalbu.Kudoakan padaMu Ya Allah,ampunkan dosa-dosaku,dosa kedua ibu bapaku,dosaa sahabat-sahabatku,dosa kaum muslimin dan muslimat seluruhnya.ameen>...

Kuharap.hari ini lebih baik dari semalam.Ramadhan Kareem,Allahu Akram.

M.E.R.D.E.K.A.KAH Kita????

Salam Ramadhan Kareem dan Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Ke-53.Rata-rata rakyat Malaysia gembira menyambut Hari Kemerdekaan Negara yang Ke-53.hal ini kerana sejarah telah membuktikan bahawa Malaysia bebas dan merdeka daripada dibelenggu penjajah.

Masih ingatkah kita ketika mana Perdana Menteri malaysia yang pertama iaitu Allahyarham Tunku Abdul Rahman melaungkan 7 kali laungan " MERDEKA " menandakan bahawa kemenangan kita dari pada penjajah serta kita berjaya memiliki semula tanah air kita yg tercinta.

Tapi itu dulu..........
Hari ini???????
Mari kita lihat..............

(Sungguh jijik mereka yang berbuat sedemikian)

(tidak berhati perutkah mereka)

Sedar atau tidak bahawasanya kita masih lagi belum MERDEKA sepenuhnya.Hari ini berlaku banyak kes pembuangan bayi yang tidak berdosa.Ya Allah,apalah dosa2 bayi2 ini sehinggakan mereka diperlaku sedemikian.....

Wahai masyarakat yang alpa dan leka dengan kepesatan pembangunan negara,sedarlah!!!!!
bahawa kita masih lagi belum merdeka.

wahai pemimpin yang GILA kuasa dan pangkat serta harta,jawablah kalian dihadapan Allah Taala nanti apa yang kamu sudah lakukan.Pasti kamu tidak akan terlepas!!!!

Apakah ini dikatakan MERDEKA!!!!!!
tepuk dada tanya iman.........

Ahad, 4 April 2010

"miss concept"silap siapa?


Suatu ‘Miss Concept’ yang semakin menular di kalangan mahasiswa era kini makin merisaukan saya. Malahan, kesalahan dalam pemikiran ini juga banyak mempengaruhi kotak kognitif para dai’e pejuang agama Allah. Terkadang, hairan memikirkan sejauh mana keberkesanan tamrin dan latihan yang diterima oleh para pejuang ini sehingga sanggup ‘lari’ dari medan dakwah sebaik sahaja menjejakkan kaki ke bumi IPT@IPG.



Silap tamrin? Atau silap fikrah sang pejuang? Atau silap waqi’ dan mad’u yang terlalu membeban? Pemerhatian selaku insan kerdil di bumi IPT ini banyak memicit bahagian otak saya untuk berkerja keras bagi menyelesaikan persoalan-persoalan ini. Tambahan pula, teramat bimbang jikalau istilah ‘mandul’ mengisi corak aktiviti dakwah di IPT pada masa hadapan. Nah, andai ini terjadi, pasti kemaksiatan dan kemungkaran menanti untuk mengambil alih menjadi ‘tajuk’ utama. Lantas, jangan disalahkan takdir jika turunnya bala’ dan bencana menimpa kita.

“Aku ingin bebas!”

“Jemu dan membosankan! Aku juga punya hak untuk bebas seperti orang lain!”

“Sudahlah! Aku penat bersifat hipokrit!”

Antara luahan rasa golongan yang ‘menyingkirkan’ diri mereka dari arena perjuangan Islam. Dahulu, sewaktu era persekolahan, mereka pernah dinobatkan sebagai Ketua Pelajar, Ketua BADAR, Ketua Exco Kerohanian dan Moral, Ketua Pengawas, Ketua Biro Dakwah dan Sahsiah, Ketua Nuqaba’. Istilah ‘Amar Ma’ruf Nahi Mungkar menjadi rencana utama hidup mereka di sepanjang sesi persekolahan. Pendek kata, strategi da’wah Islamiyyah menjadi perkara kedua terpenting dalam pemikiran mereka selepas pelajaran. Tentu lebih hebat lagi jika mereka itu antara pemegang tampuk kepimpinan di sekolah-sekolah agama sekitar Malaysia.

Namun, wujud kekesalan dalam diri, apabila ‘future leader’ yang diharap dapat menjadi penyambung waris perjuangan Allah di IPT@IPG ini, ‘layu’ sebaik sahaja melangkah ke alam yang lebih kuat pancarobanya ini. Malah, apa yang menyedihkan mereka ini pula yang tertarik ke kancah keasyikan duniawi versi IPT@IPG. Pantang yang amat-amat terlarang ketika berada di era kegemilangan persekolahan dek kerana imej kepimpinan mereka, disilih ganti ketika ini. Apa tidaknya, dahulu, kalau ingin ber ‘couple’ sudah tentu ada kata-kata sinis yang menyinggah telinga, kerana dia seorang pemimpin! Kini, di IPT@IPG tiada siapa yang mengenalinya dan kalau adapun hanya segelintir. Imej yang ‘menghantuinya’ selama ini berjaya dibuang jauh-jauh. Kali ini, dia mahu merasa apa nikmatnya ‘couple’. Mungkin, ini yang dikatakan ‘anjakan paradigma’ barangkali? Alahai…mana perginya istilah ‘ikhtilat’ yang kau sering bicarakan selama ini ya akh??!!

Mungkin kita boleh bertoleransi jika alasan yang diberi untuk ‘bersara’ ialah tidak dapat menyesuaikan diri, belum ada kekuatan, tidak sampai seru dan lain-lain alasan stereotaip yang sering menjadi ‘perisai’ mengelak diri. Namun, amat menyakitkan hati jika alasan berbau ‘kebebasan’ diutarakan. Malah, dengan ‘kebebasan’ yang diidamkannya itu, komitmennya bersama dakwah Islam berkurangan, lebih menyedihkan tidak mahu terlibat langsung secara rasmi! Wahai saudaraku! Sedarkah anda, kami memerlukan khidmatmu lebih dari sekadar menjadi ‘follower’. Kami tagihkan khidmatmu, pengalamanmu dan hasil ‘tangan’mu itu.



إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلآئِكَةُ ظَالِمِي أَنْفُسِهِمْ قَالُواْ فِيمَ كُنتُمْ قَالُواْ كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِي الأَرْضِ قَالْوَاْ أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ اللّهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُواْ فِيهَا فَأُوْلَـئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَسَاءتْ مَصِيراً97





Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang Yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat Dengan berkata: "Apakah Yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?" mereka menjawab: "Kami dahulu adalah orang-orang Yang tertindas di bumi". malaikat bertanya lagi: "Tidakkah bumi Allah itu luas, Yang membolehkan kamu berhijrah Dengan bebas padanya?" maka orang-orang Yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (An Nisa:97)

Ayat ini mengisahkan bagaimana orang Muslim yang tidak berhijrah lalu diseksa oleh orang Musyrikin Makkah sehingga meninggal dunia, dihumban oleh Malaikat ke neraka jahanam. Mengapa? Kerana, apabila ditanyakan apa yang telah kamu lakukan untuk agamamu? Mereka beralasan bahawa mereka dahulu sering ditindas sehingga tiada masa untuk berjasa kepada Islam. Lalu Malaikat menjawab, bukankah bumi ini luas sehingga membolehkan kamu berhijrah padanya?

Nah, ini dalilnya, sedangkan alasan berada dalam keadaan ditindas sekalipun dihumban Allah kedalam neraka, apatah lagi hanya beralasankan ‘kebebasan’ semata-mata? Wahai ‘pesara’ pejuang Allah, sedarlah ‘kebebasan’ yang anda cari itu bukanlah sebenar-benar kebebasan, kerana kebebasan yang sebenar itu hanya dinaungi oleh syari’at Allah.

Saya memetik anologi mudah dari Ustaz Pahrol Mohd. Juoi, apabila disediakan lampu trafik sebagai pengawal lalu lintas dalam mana-mana simpang empat, adakah merah itu menandakan kita selamanya tidak boleh bergerak langsung? Tidak! Sebaliknya, kita perlu menunggu ianya bertukar kepada hijau untuk melintas. Begitulah juga setiap apa yang Allah larang, bukannya tidak diberi langsung peluang melakukannya cuma perlu ditelusuri syariat supaya menjadi manusia yang sebenar-benar ‘manusia’.

Isnin, 15 Mac 2010

insan dan perjuangan..!!!


Manusia hidup sebagai pejuang. Kehidupan manusia adalah sebuah perjuangan. Seperti tumbuhan dan haiwan serta benda-benda hidup yang ada di atas muka bumi ini, manusia juga berjuang untuk mendapatkan keperluan asasi.

Sebuah pokok durian akan berjuang untuk mendapatkan cahaya yang cukup untuk melakukan proses fotosintesis. Perjuangan itu didahului dengan perjuangan mendapatkan bekalan air dan mineral serta ruang yang cukup untuk tumbesaran. Seterusnya berjuang untuk mendapatkan bekalan gas karbon dioksida bagi melengkapkan proses fotosintesis hasil bantuan tenaga cahaya dan klorofil yang menukarkan air kepada oksigen dan hidrogen, serta glukosa sebagai hasil akhir kepada proses fotosintesis tersebut.

Tumbuhan-tumbuhan akan bersaing sesama sendiri. Maka sunnatuLlah menetapkan tumbuhan yang paling kuat daya hidupnya(survival) akan meneruskan kehidupan masing-masing. Maha Suci Allah yang juga menciptakan tumbuhan dengan kelengkapan dan keistimewaan tersendiri. Ada tumbuhan yang menumpang, disebut sebagai parasit mahupun saprofit. Ada juga yang menjalar, ada yang berakar cerucuk dan sebagainya sesuai dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Tumbuhan-tumbuhan bersaing di atas padang yang sama rata.

Dunia haiwan pula tidak banyak bezanya dengan manusia. Dengan jenis keperluan dan kemampuan pergerakan yang hampir sama dengan manusia, saintis barat seperti Charles Darwin sering mengaitkan manusia dengan haiwan dari segi biologi. Tidak kurang ahli falsafah yang mengaitkan manusia dengan haiwan dari segi psikologi, misalnya Lord Acton yang menyatakan, ”human is politically animal”.

Haiwan berjuang untuk kelangsungan hidup masing-masing. Seekor lembu, walaupun dengan mukanya yang sentiasa berada dalam ”kemalasan” hakikatnya sentiasa berjuang untuk hidup. Melangkah dengan kaki yang empat untuk mencari rumput yang enak dan berkhasiat. Walaupun sentiasa dilanggar kereta ketika melintas, lembu juga punya deria dan daya untuk mengelakkan diri daripada bahaya. Bagi yang sering memandu di kawasan penternakan lembu, saya yakin mereka akan bersetuju dengan saya.

Walau sekecil mana sekalipun benda hidup itu, setiap satunya akan berjuang dalam konteks dan di lapangan masing-masing.

Apalagi manusia, yang dijadikan Allah dengan sebaik-baik ciptaan. Saintis menamakan spesies manusia ini dengan Homo sapiens. Menurut mereka, yang masih terpengaruh dengan teori darwin, homo sapiens merupakan jolokan yang diberikan kepada manusia berdasarkan maknanya iaitu ”haiwan beruk yang bijak”.

Manusia merupakan benda hidup yang sehingga ke hari ini gagal ditandingi oleh mana-mana haiwan dari segi kedudukannya sebagai Raja Benda Hidup di atas planet yang bernama Bumi. Meski beribu-ribu saintis cuba mencabar kebenaran ayat Allah

”Sungguh, kami telah ciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baik ciptaan,” Surah At-Tin, 95:4,

Sehingga ke hari ini, mereka masih gagal menampilkan calon yang lebih baik daripada diri mereka sendiri untuk dinobatkan sebagai Raja di Bumi. Peliknya, sehingga ke hari ini, mereka masih berusaha malah bersungguh-sungguh mahu mencari calon yang dapat menggantikan manusia.

Berbalik kepada persoalan manusia sebagai pejuang. Maka sebagai raja, sudah tentunya perjuangan yang akan dilalui oleh manusia adalah jauh lebih payah dan sukar berbanding makhluk-makhluk lain. Manusia bukan sahaja perlu berjuang untuk dirinya sendiri, malah telah diamanahkan untuk berjuang demi manusia-manusia lain serta seluruh isi bumi ini. Di dalam contoh di atas, pokok durian dan lembu hanya berjuang untuk dirinya dan terhenti ke atas zuriat premier yang ”mereka” lahirkan semata-mata.

Manusia bertanggungjawab terhadap keseluruhan zuriat, bahkan bertanggungjawab untuk menjaga manusia-manusia yang bukan dari zuriatnya sendiri.

Pengkelasan manusia dibahagikan kepada 4 kategori. Pertama jasmani. Keperluan jasmani merangkumi keperluan makan, minum, kesihatan dan perkara-perkara yang bersifat fizikal. Kita perlu berjuang untuk mendapatkan tubuh badan yang sihat dan ideal, seterusnya diamanahkan pula untuk menjaga supaya tahap kesihatan fizikal berada di tahap yang baik. Jika lapar kita makan, rambut serabai disikatkan, jika ngantuk kita tidur, penat berlari kita berjalan, terluka ditusuk duri kita sapukan ubat, malah apabila badan berbau, secara automatiknya kita akan mandi dan mengenakan wangi-wangian.

Pengurusan emosi pula dikaitkan dengan psikologi iaitu merujuk kepada kawalan perasaan. Kita berjuang untuk hidup gembira dan bebas daripada tekanan. Berjuang untuk dicintai dan mencintai. Berjuang untuk berasa selamat dan tenteram. Berjuang untuk hidup rukun dan damai sesama manusia juga sesama makhluk lain yang turut menumpan di bumi Allah ini. Mereka yang secara psikologinya ”gila” adalah mereka yang tidak mempunyai keinginan-keinginan di atas. Jika anda tidak berhajat kepada hubungan yang baik sesama manusia, maka anda secara emosinya adalah ”kurang manusia” berbanding manusia-manusia yang lain.

Tidak hairanlah sekiranya Ahli Parlimen yang lompat parti digelar sebagai katak. Ini kerana, mereka dari segi prinsip perjuangan kemanusiaannya adalah setaraf dengan katak.

Ada juga nilai-nilai emosi yang tidak kurang pentingnya seperti ”self esteem” iaitu menghargai diri sendiri, ”empati” dapat merasakan dan menyelami perasaan orang lain, ”simpati” merasa belas terhadap orang lain. Serta banyak lagi perkara-perkara emosi yang menjadikan manusia itu semakin tinggi nilai kemanusiaannya.

Kita juga perlu berjuang untuk kelangsungan akal. Disebut sebagai kawalan intelektual, merujuk kepada kemahiran berfikir. Dikelaskan pula kepada dua jenis kemahiran berfikir iaitu secara vertikal dan lateral iaitu kemampuan membuat analisis untuk mencari jawapan betul atau salah, serta mencari jalan untuk menyelesaikan sesuatu masalah dengan cara yang terbaik.

Perjuangan intelektual ini membantu manusia membantu manusia menyelesaikan masalah yang dihadapi. Seseorang yang memperolehi kemahiran berfikir sanggup dan cekap dalam menyusun maklumat, konsep atau idea secara yang teratur dan membuat kesimpulan atau keputusan yang tepat untuk tindakan yang berkesan.

Kemahiran berfikir akan membantu manusia mencari jalan-jalan penyelesaian terhadap sebarang konflik dan masalah yang dihadapinya. Justeru manusia berjuang untuk menuntut ilmu dan mengembara untuk mendapat pengetahuan yang luas mengenai kehidupan. Semakin banyak dia menuntut, semakin luas dia mengembara, maka semakin tinggilah keupayaannya untuk berfikir. Walaupun kemahiran berfikir ini juga, pada hakikatnya memerlukan kepada proses dan alat-alat yang berkesan dan tepat.

Setelah itu, tingkatan paling tinggi dalam perjuangan manusia ialah perjuangan rohani. Saintis sekular cuba menggantikan istilah rohani ini dengan persoalan moral. Ini kerana mereka sedaya upaya cuba memisahkan Islam dari cara hidup manusia. Percubaan mereka gagal seperti mana biasa kerana persoalan moral tertakluk kepada interpretasi manusia dan tidak bersifat tetap mahupun universal.

Persoalan rohani, merupakan persoalan universal yang bersangkutan dengan keimanan manusia terhadap perkara-perkara ghaib. Keimanan terhadap perkara-perkara ghaib akan membantu manusia membuat keputusan yang PALING TEPAT. Keadaan semasa msyarakat membuktikan fakta ini apabila berlakunya jenayah kolar putih, sebagai merujuk kepada jenayah yang dilakukan oleh mereka yang mempunyai jawatan tinggi dan daripada bidang-bidang profesional.

Sebagai contoh, ribuan jurutera terlibat dengan rasuah, sehingga menyebabkan kerugian dan kemalangan nyawa. Padahal seseorang jurutera profesional itu sudah semestinya mempunyai kemahiran intelektual yang tinggi.

Dunia mula mengiktiraf akhlak sebagai cabang ilmu yang penting apabila mula memperkenalkan ”Etika dalam profesion”. Malah mula memberi penekanan dan kajian terhadap ”natural justice” apabila konsep ”rule of law” yang diperkenalkan gagal menyelesaikan masalah kezaliman manusia ke atas manusia yang lain mahupun ke atas alam ciptaan Tuhan ini.

Justeru, saya perlu sedar bahawa tugas perjuangan ini telahpun saya pikul seawal nafas saya yang pertama di bumi ini. Ianya akan terus dipikul sehinggalah degupan jantung ini dihentikan oleh Yang Meminjamkan Jantung ini kepada saya. Saya bertanggungjawab terhadap kelangsungan fizikal, emosi, intelek, juga rohani diri saya, juga kelangsungan perjuangan segala jenis haiwan dan tumbuhan di atas muka bumi ciptaan Allah ini.

Secara PANJANG dan LEBAR ulasan mengenai PERJUANGAN ini benar-benar membuka mata saya bahawa saya perlu terus BERJUANG untuk hidup.

Bahkan sebagai seorang yang beriman bahawa TIADA TUHAN YANG LAYAK DISEMBAH MELAINKAN ALLAH, dan NABI MUHAMMAD ITU PESURUH ALLAH, saya harus terus berjuang sehingga saya mati, tidak keterlaluan untuk saya katakan berjuang untuk mati.

Ahad, 14 Mac 2010


BEGITU dalam erti cinta bila manusia menginginkan bahagia, tenang, damai di setiap helaian hamparan kehidupan duniawi. Bahagia dicari sudah pasti bermula dari segala hal baik-baik, tenang digali sudah pasti lahir dari permulaan baik-baik, damai disoroti sudah pasti berada di awal segala hal kebaikan. Penentu bahagia, tenang, damai adalah bermula dari langkah pertama, baik langkah pertama, insha-Allah baiklah langkah-langkah kita seterusnya. Niat, nawaitu... Cinta anugerah Ilahi. Cinta sejati yang datang dari lubuk hati yang dalam, itu yang dicari. Cinta pada Ilahi adalah tunggak segala-galanya. Apabila ianya kukuh di jiwa, tiada lagi masaalah yang melanda. Cinta adalah satu kuasa dalaman, satu kuasa untuk diri mengubah keadaan. Cinta suci lahir dari hati yang kudus, bersih dari segala kekotoran dalaman dan luaran. Ramai manusia diserang masalah berkaitan hati, cinta diraih sering kali gagal. Kadang-kadang kita juga sering salahkan takdir, sedangkan kita sebenarnya gagal menempatkan hati pada langkah pertama lagi. Mengalami masalah hati dan jiwa setiap hari, tapi tidak jumpa solusi yang pasti, selalu membuat kesimpulan gunakan hati (nafsu), bukan berdasarkan al-Quran dan al-Hadith. Semua insan di dunia inginkan kesenangan dan kebahagiaan. Justeru, kekadang bila kita melalui hari dengan mudah pada satu-satu hari, rasa bersyukur teramat sangat. Manakan tidak, setiap hari sebelum memulakan hari baru, kita (niat) sentiasa berdoa demi kebaikan sepanjang hari pada hari tersebut, bermula pada langkah pertama. Kekadang kita terlalu takut jika Allah Taala tidak menyayangi kita, bilamana kita tidak ditimpakan ujian walau sebutir zarah pada hari-hari yang kita hadapi. Ujian ini, bukan untuk menakutkan diri, tapi mencari hikmah tersembunyi. Berterima kasihlah kepada Allah Taala kerana masih ditarbiah hati ini. Cinta melulu hanyalah cinta orang yang lemah iman. Itulah yang berlaku dalam kehidupan kita selama ini. Terlalu sayang, sayang sangat-sangat hingga bisu untuk menegur kesalahan, sudah ketara, tapi buat-buat lupa, sudah tahu dan nyata, tetapi pura-pura buat buta. Hinggakan diri sendiri pun terikut-ikut dan sama-sama jadi buta, gelap gelita. Ya, bila ujian Allah Taala datang mendidik diri, baru sedar, baru terngadah. Tapi syukur Allah Taala datangkan jua rasa redha di hati ini. Mujurlah jua Allah Taala tunjukkan jalan mengajar hati redha, terima hakikat. قَدۡ أَفۡلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا( ) وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسهَا Allah Taala berfirman, bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)” asy-Syam (91:9-10) Pasti kalian pernah merasai saat genting ini. Ada yang selepas berumahtangga, pengamalan agama dianggap enteng. Jika dahulu impian ingin membina bait-muslim itu cukup tinggi tetapi apabila ada kelemahan, kekurangan dan kesilapan yang dilakukan, pasangan hanya mengambil langkah berdiam diri hanya kerana cinta, inilah cinta buta tidak nampak akan kesalahan, matlamat pula menghalalkan cara. Bila cinta Tuhan diketepi, bila kasih sayang makhluk mendasari hati, nafsu menjadi raja dalam diri, kalam Tuhan tidak lagi diikuti. Sesungguhnya manusia apabila mencintai makhluk-Nya dan mendahului mereka dari Allah, maka tunggulah janji-Nya. Kadang-kadang untuk menyeru kepada kebaikan agak sukar kerana sesetengah orang akan lebih nampak kepada keburukan. Namun begitu, kita boleh terus berusaha dan istiqamah dalam membuat kebaikan. Kebaikan tidak semestinya melalui lisan, tetapi boleh juga melalui perbuatan. Kadang-kadang apa yang kita buat lebih memberi kesan berbanding dengan apa yang kita cakapkan. Dunia ini adalah madrasah cinta kita cari. Allah Taala sedang mengajar dan mendidik kita. Suatu ketika dulu saya juga pernah mengalami perkara yang sama. Namun di teruskan juga menadah, meminta pertolongan Allah. Allah Taala akan terus mengajar dan mendidik kita dengan syarat kita mahu belajar sama ada dari pengalaman yang kita lalui, muhasabah diri seterusnya belajar ilmu-ilmu Islami. Kita akan sedar, semua ini adalah untuk kebaikan kita juga. Benarlah, cinta suci, bersih lahir pada langkah pertama kita. Baik niat kita, maka baiklah langkah demi langkah kita susuri.