Khamis, 30 September 2010

Taubat Seorang Pejuang – Ustaz Nasaruddin Tantawi

Masih terngiang – ngiang di telinga saya , perkataan yang pernah dipopularkan oleh al Imam Hassan al Hudhaibi . Perkataan ini sering diulang – ulang oleh naqib saya Syeikh Ahmad Laasyin ( beliau pernah dipenjara bersama Asy Syahid Syed Qutb Rhm ) , dulunya beliau adalah Imam Masjid Syahid di Tanta .

Saya lekatkan banner perkataan tersebut di dinding rumah saya sewaktu menginap di Syari’ al Hulwa berhadapan dengan Madrasah Jil Muslim lil Banat di Tanta satu masa dulu . Masih segar pastinya dalam ingatan ini bersama rakan – rakan seperjuangan yang sangat menghayati makna dan maksud perkataan tersebut.

Perkataannya ringkas tapi nyata ia cukup besar maknanya bagi diriku sebagai seorang pejuang . Ianya bagai satu energy yang cukup luar biasa bagi diri saya sewaktu meredah segala cabaran dan merempuh segala halangan untuk berjaya mencapai status seorang pejuang.

Juga masih dalam ingatan ini , sewaktu kami para nuqaba’ menjalani terapi muhasabah di satu subuh yang hening . Naqib saya masa tu Ust. Musthafa Saari dibantu Ust. Zulqarnain Hassan telah membuat dua garis . Satu garis permulaan dan satu lagi garis akhir . Jarak antara garis mula dengan garis akhir sekitar 10 kaki ( lebih kurang 20 tapak ) .

Kami lebih kurang 12 orang ( kalau tak salah ingatan saya ) berbaris digaris mula dengan arahan supaya memberi fokus kepada setiap tapak yang akan kami lakukan menuju ke garis akhir . Itu pun kalau setiap aktiviti dan amal Islami yang dibacakan oleh Naqib satu persatu dengan penuh tertib telah dilakukan oleh kami secara jujur dan benar .

Setiap amal dan aktiviti yang tidak kami lakukan , pastinya ia mematikan langkah kami . Ada 20 amal dan aktiviti yang dibacakan oleh Naqib dan memadai dengan 20 langkah untuk kami sampai ke garis akhir dengan satu amal yang dilaksana bersamaan satu langkah .

Ayat tema kepada terapi muhasabah ini adalah perkataan yang saya maksudkan tadi :
أقيموا دولة الإسلام في قلوبكم تقم على أرضكم
Tegakkanlah Negara Islam di dalam diri kamu nescaya ia akan tertegak di atas tanahair kamu.

Terapi Muhasabah yang Menginsafkan

Di pertengahan jalan menuju ke garis akhir , nyata waktu itu saya agak terkebelakang berbanding sahabat – sahabat yang lain seperti meluru laju kerana setiap amal yang disenaraikan oleh Naqib rupanya dilakukan oleh mereka dengan baik . Sementara saya gagal dalam banyak amal Islami yang sepatutnya menjadi kewajipan kepada kami para nuqaba’ melakukannya.

Ya, saya masih ingat bagaimana saya gagal untuk puasa isnin dan khamis malah saya juga gagal menginfaqkan sebahagian harta yang saya miliki pada minggu tersebut. Kegagalan demi kegagalan sudah pasti mematikan langkahan saya dan akhirnya saya mula menyedari bahawa kedudukan saya dengan garis akhir agak jauh .

Kedudukan ini tentu sahaja menyebabkan naqib saya (amir) tidak berpuas hati dengan prestasi saya selaku salah seorang dari para nuqaba’ harapannya.

Lalu saya disergah oleh Ust. Musthafa . ” Ust. Din ! anta tengok kedudukan anta sekarang , masih terlalu jauh untuk sampai ke garis akhir ! Anta tahu apa maksudnya ? Maksudnya anta gagal untuk layak sebagai seorang pejuang ! “

Saya cuba bertahan . Menahan gelora emosi yang mula diserang rasa bersalah kerana mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang pejuang .

Ust Zulqarnain menambah : ” Ust. Din , kalau macam ni keadaan anta macam mana anta nak jadi pemimpin ? Memimpin Gerakan Islam tidak seperti memimpin persatuan kebajikan ! Kenapa minggu ini prestasi amal anta terlalu lemah ? anta lupa tanggungjawab ? anta bermain – main dengan perjuangan ini ? anta ingat nak jadi pejuang cukup setakat pandai pidato ? kemana perginya semua taujihat yang kami berikan kepada anta selama ini ? “

bertalu – talu persoalan diterjah kepada saya oleh Ust Zulqarnain . Perasaan saya makin sukar dikawal dan akhirnya dalam suasana yang penuh hening disubuh hari , saya menangis kesal . saya meraung penuh insaf .

Suasana agak emosional , saya hampir pengsan dalam esakan yang cukup memilukan , mengenang diri yang nyata tidak layak untuk menjadi seorang pejuang sedang saya selalu mendambakan status sebagai seorang pejuang , malah saya bangga memperkenalkan diri kepada sahabat – sahabat bahawa saya adalah seorang pejuang . Saya malu …

Saya ingat lagi , agak lama juga saya diselubungi rasa bersalah dan saya menangis dan terus menangis sehingga memaksa rakan – rakan anggota madrasah Nuqaba’ yang turut menyertai Terapi Muhasabah itu , memujuk dan menyabarkan saya .

Demikian secebis kenangan 14 tahun yang lalu sewaktu saya direkrut dan dikaderkan oleh abang – abang yang lebih senior dalam perjuangan ini . Sebahagian mereka kini menjadi pemimpin , memimpin Gerakan Islam di negeri masing – masing . Pun turut di akui , ada juga mereka yang dulunya mentarbiyah saya , kini mereka hilang dari peta rajah perjuangan di tanahair hari ini . Mungkin mereka berjuang di luar negara . Wallahua’alam .

Bukan Zaman Rekrut
Sekarang saya dan kita semua berada di medan berbanding sebelumnya kita bagaikan berada di kem . Ertinya kita bukan lagi berada di madrasah nuqaba’ dan tidak juga berada di dalam tamrin panjang ( mua’skar ) yang mana kita dibina , dilatih , dibentuk , dikader , ditegur , dimarah , dibimbing , dipimpin , diajar dan dinasihat oleh pimpinan .

Hari ini kita bergerak meredah cabaran dan menyerap tekanan dengan tahap upaya sendiri berbekalkan skima pentarbiyah yang telah diambil sejak sekian lama .

Cukup lama diri ini tidak ditegur , dididik , dimarah , dibimbing , dinasihat , diajar dan dikader seperti dulu . Logiknya , kalau dulu pun ( dalam suasana pengkaderan ) saya masih gagal dalam banyak aktiviti amal islami , bagaimana saya boleh berjaya dalam suasana begitu lama saya tidak dibimbing dan ditegur ?

Taubat
Sukar sungguh untuk layak jadi pejuang yang tangguh dan tahan uji . Mungkin saya boleh berjaya dalam satu bahagian tetapi gagal dalam banyak bahagian yang lain . Berhadapan pula dengan tekanan dan cabaran dari luar serta tidak kurang karenah dalaman yang cukup menguji kesabaran .

Antara yang membuat diri ini sering gagal ialah keupayaan dan stamina diri yang masih lemah dalam menangkis serangan kemahuan ( nafsu ) yang datang dari diri sendiri . Ianya sering memerangkap dan menjadikan diri ini leka dan lalai dari tanggungjawab dan amanah sebagai seorang pejuang dan pemimpin .

Banyak sungguh dosa diri ini ! Ya Allah , Ampunkan daku ! Syaithan tentu saja gembira dengan perkembangan ini . Ya Allah ! Janganlah Kau biarkan diriku yang lemah ini terkapai – kapai dihanyutkan arus leka dan lalai dibuai nafsu .

Ya Rabbi Ya Allah ! Kurniakan hidayahMu buat diri ini agar aku mampu thabat di atas landasan perjuangan suci ini . Biarpun aku tidak layak menjadi pemimpin tetapi jangan sekali – kali kau biarkan aku tidak layak untuk menjadi pejuang agamaMU ya Allah !

Isnin, 6 September 2010

Mengapa Wanita Memerlukan Lelaki?

Wanita tidak semestinya memerlukan lelaki, tetapi wanita dan lelaki saling memerlukan, cinta itu anugerah.

Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya? Untuk beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala.

Ya, apa perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya kepada tangan seorang lelaki?

Bukankah lebih hebat jalan dihujung minggu bersama kawan rapat, berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang saling tidak putus dan tidak lokek senyum tanda salam perkenalan.

Saya mempunyai seorang rakan, sederhana cantik, tidak terlalu kurus tidak terlalu gemuk, tidak terlalu buruk, tidak terlalu jelita, manisnya ada, santunnya memikat orang tua, beragama juga kerana selalu sahaja diceritakan dia terhendap-hendap membawa sejadah masuk ke bilik stor kecil untuk solat, dan dia sentiasa cuba gembira dengan kehidupannya yang solo.

Tetapi saya fikir, saya faham apa yang berputar-putar dalam kepalanya.

Dia tidak dapat berdusta betapa kebahagiaan cinta kawan-kawan membuatnya cemburu, dan membuatnya selalu terfikir-fikir: Apalah perasaan gadis yang dipuja dan dicintai hebat oleh seorang lelaki.

Kawan, saya harap dia membaca artikel ini. Cinta tidak datang dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala kita mahukannya. Jika kita mahukan ia menjadi air, ia datang seperti api.

Tetapi, jika kita bersabar dan menerima ketentuan Tuhan, seorang lelaki yang baik akan didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang baik itu tidak turun dari langit.

Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan kepala berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak.

Tetapi lelaki yang baik, jika Tuhan mahukan dia menemani kita sepanjang hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian kalbu bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar kita dapat memperdalam selok belok agama yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana, dan memberikan kita zuriat yang halal lagi dirahmatiNya.

Dia akan datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih mengetahui.

Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang wanita seperti manusia kudung yang diberikan semula sebelah kakinya. Dia menyempurnakan kita.

Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan dua jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek, kita, wanita, harus bersedia menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.

Kerana apabila kita mempersilakan seorang lelaki duduk di samping kita untuk sepanjang hayat, bererti kita harus langsung juga mempersilakan sekian masalahnya berbaring di bahu kita.

Kerana itu tidak hairan jika kita mendengar ada di kalangan kita, gadis, yang merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap keperluan hidup lelaki tidak juga berkurangan walaupun belum lagi berkahwin.

Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia.

Tetapi lelaki juga mendatangkan sengsara. Namun jika kita bijak menatangnya, semuanya pasti baik-baik sahaja. Itulah adat dalam perhubungan. Yang buruk-buruk pasti ada.

Barangkali daripada si dia, barangkali juga daripada kita, tetapi kita harus cermat mengimbangkannya agar jodoh berkekalan ke hari tua.

Bagi yang sedang galak bercinta dengan lelaki permata jiwa tetapi menerima tentangan keluarga dua pihak, jika anda fikir anda tidak mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda menyerah kalah saja.

Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa.

Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa.

Bercakap soal kahwin, beberapa kenalan rapat yang dewasa bersama-sama.

Sejak zaman gatal-menggatal kenyit mengenyit kala di bangku pengajian, kini sudah disunting, dan bakal menjadi isteri kepada lelaki yang mereka cintai.

Semoga mereka tak tersalah pilih.

Dan semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami isteri.

Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang lelaki, kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita mampu menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia.

Kerana benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu diilhamkan Tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa.

Dan kerana Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, kita wanita, kita ini diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak terlalu gagah sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.

Tetapi kerana ciptaan Tuhan itu indah, kita terbit daripada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati untuk dimulia, disayangi dan dicintai.

Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya.

Tetapi kerana fitrah kejadian Tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus saja diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh melindungi, maka kita pun tidak selamanya mahu menjadi angin semata-mata.

Kita mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita mahu terus bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung, sehingga kita tua, rapuh dan mati.

Tetapi kita bahagia dalam dakapannya, semoga kita semua diketemukan dengan jodoh yang baik..InsyaAllah...

sumber: I LUV ISLAM