Isnin, 15 Mac 2010

insan dan perjuangan..!!!


Manusia hidup sebagai pejuang. Kehidupan manusia adalah sebuah perjuangan. Seperti tumbuhan dan haiwan serta benda-benda hidup yang ada di atas muka bumi ini, manusia juga berjuang untuk mendapatkan keperluan asasi.

Sebuah pokok durian akan berjuang untuk mendapatkan cahaya yang cukup untuk melakukan proses fotosintesis. Perjuangan itu didahului dengan perjuangan mendapatkan bekalan air dan mineral serta ruang yang cukup untuk tumbesaran. Seterusnya berjuang untuk mendapatkan bekalan gas karbon dioksida bagi melengkapkan proses fotosintesis hasil bantuan tenaga cahaya dan klorofil yang menukarkan air kepada oksigen dan hidrogen, serta glukosa sebagai hasil akhir kepada proses fotosintesis tersebut.

Tumbuhan-tumbuhan akan bersaing sesama sendiri. Maka sunnatuLlah menetapkan tumbuhan yang paling kuat daya hidupnya(survival) akan meneruskan kehidupan masing-masing. Maha Suci Allah yang juga menciptakan tumbuhan dengan kelengkapan dan keistimewaan tersendiri. Ada tumbuhan yang menumpang, disebut sebagai parasit mahupun saprofit. Ada juga yang menjalar, ada yang berakar cerucuk dan sebagainya sesuai dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Tumbuhan-tumbuhan bersaing di atas padang yang sama rata.

Dunia haiwan pula tidak banyak bezanya dengan manusia. Dengan jenis keperluan dan kemampuan pergerakan yang hampir sama dengan manusia, saintis barat seperti Charles Darwin sering mengaitkan manusia dengan haiwan dari segi biologi. Tidak kurang ahli falsafah yang mengaitkan manusia dengan haiwan dari segi psikologi, misalnya Lord Acton yang menyatakan, ”human is politically animal”.

Haiwan berjuang untuk kelangsungan hidup masing-masing. Seekor lembu, walaupun dengan mukanya yang sentiasa berada dalam ”kemalasan” hakikatnya sentiasa berjuang untuk hidup. Melangkah dengan kaki yang empat untuk mencari rumput yang enak dan berkhasiat. Walaupun sentiasa dilanggar kereta ketika melintas, lembu juga punya deria dan daya untuk mengelakkan diri daripada bahaya. Bagi yang sering memandu di kawasan penternakan lembu, saya yakin mereka akan bersetuju dengan saya.

Walau sekecil mana sekalipun benda hidup itu, setiap satunya akan berjuang dalam konteks dan di lapangan masing-masing.

Apalagi manusia, yang dijadikan Allah dengan sebaik-baik ciptaan. Saintis menamakan spesies manusia ini dengan Homo sapiens. Menurut mereka, yang masih terpengaruh dengan teori darwin, homo sapiens merupakan jolokan yang diberikan kepada manusia berdasarkan maknanya iaitu ”haiwan beruk yang bijak”.

Manusia merupakan benda hidup yang sehingga ke hari ini gagal ditandingi oleh mana-mana haiwan dari segi kedudukannya sebagai Raja Benda Hidup di atas planet yang bernama Bumi. Meski beribu-ribu saintis cuba mencabar kebenaran ayat Allah

”Sungguh, kami telah ciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baik ciptaan,” Surah At-Tin, 95:4,

Sehingga ke hari ini, mereka masih gagal menampilkan calon yang lebih baik daripada diri mereka sendiri untuk dinobatkan sebagai Raja di Bumi. Peliknya, sehingga ke hari ini, mereka masih berusaha malah bersungguh-sungguh mahu mencari calon yang dapat menggantikan manusia.

Berbalik kepada persoalan manusia sebagai pejuang. Maka sebagai raja, sudah tentunya perjuangan yang akan dilalui oleh manusia adalah jauh lebih payah dan sukar berbanding makhluk-makhluk lain. Manusia bukan sahaja perlu berjuang untuk dirinya sendiri, malah telah diamanahkan untuk berjuang demi manusia-manusia lain serta seluruh isi bumi ini. Di dalam contoh di atas, pokok durian dan lembu hanya berjuang untuk dirinya dan terhenti ke atas zuriat premier yang ”mereka” lahirkan semata-mata.

Manusia bertanggungjawab terhadap keseluruhan zuriat, bahkan bertanggungjawab untuk menjaga manusia-manusia yang bukan dari zuriatnya sendiri.

Pengkelasan manusia dibahagikan kepada 4 kategori. Pertama jasmani. Keperluan jasmani merangkumi keperluan makan, minum, kesihatan dan perkara-perkara yang bersifat fizikal. Kita perlu berjuang untuk mendapatkan tubuh badan yang sihat dan ideal, seterusnya diamanahkan pula untuk menjaga supaya tahap kesihatan fizikal berada di tahap yang baik. Jika lapar kita makan, rambut serabai disikatkan, jika ngantuk kita tidur, penat berlari kita berjalan, terluka ditusuk duri kita sapukan ubat, malah apabila badan berbau, secara automatiknya kita akan mandi dan mengenakan wangi-wangian.

Pengurusan emosi pula dikaitkan dengan psikologi iaitu merujuk kepada kawalan perasaan. Kita berjuang untuk hidup gembira dan bebas daripada tekanan. Berjuang untuk dicintai dan mencintai. Berjuang untuk berasa selamat dan tenteram. Berjuang untuk hidup rukun dan damai sesama manusia juga sesama makhluk lain yang turut menumpan di bumi Allah ini. Mereka yang secara psikologinya ”gila” adalah mereka yang tidak mempunyai keinginan-keinginan di atas. Jika anda tidak berhajat kepada hubungan yang baik sesama manusia, maka anda secara emosinya adalah ”kurang manusia” berbanding manusia-manusia yang lain.

Tidak hairanlah sekiranya Ahli Parlimen yang lompat parti digelar sebagai katak. Ini kerana, mereka dari segi prinsip perjuangan kemanusiaannya adalah setaraf dengan katak.

Ada juga nilai-nilai emosi yang tidak kurang pentingnya seperti ”self esteem” iaitu menghargai diri sendiri, ”empati” dapat merasakan dan menyelami perasaan orang lain, ”simpati” merasa belas terhadap orang lain. Serta banyak lagi perkara-perkara emosi yang menjadikan manusia itu semakin tinggi nilai kemanusiaannya.

Kita juga perlu berjuang untuk kelangsungan akal. Disebut sebagai kawalan intelektual, merujuk kepada kemahiran berfikir. Dikelaskan pula kepada dua jenis kemahiran berfikir iaitu secara vertikal dan lateral iaitu kemampuan membuat analisis untuk mencari jawapan betul atau salah, serta mencari jalan untuk menyelesaikan sesuatu masalah dengan cara yang terbaik.

Perjuangan intelektual ini membantu manusia membantu manusia menyelesaikan masalah yang dihadapi. Seseorang yang memperolehi kemahiran berfikir sanggup dan cekap dalam menyusun maklumat, konsep atau idea secara yang teratur dan membuat kesimpulan atau keputusan yang tepat untuk tindakan yang berkesan.

Kemahiran berfikir akan membantu manusia mencari jalan-jalan penyelesaian terhadap sebarang konflik dan masalah yang dihadapinya. Justeru manusia berjuang untuk menuntut ilmu dan mengembara untuk mendapat pengetahuan yang luas mengenai kehidupan. Semakin banyak dia menuntut, semakin luas dia mengembara, maka semakin tinggilah keupayaannya untuk berfikir. Walaupun kemahiran berfikir ini juga, pada hakikatnya memerlukan kepada proses dan alat-alat yang berkesan dan tepat.

Setelah itu, tingkatan paling tinggi dalam perjuangan manusia ialah perjuangan rohani. Saintis sekular cuba menggantikan istilah rohani ini dengan persoalan moral. Ini kerana mereka sedaya upaya cuba memisahkan Islam dari cara hidup manusia. Percubaan mereka gagal seperti mana biasa kerana persoalan moral tertakluk kepada interpretasi manusia dan tidak bersifat tetap mahupun universal.

Persoalan rohani, merupakan persoalan universal yang bersangkutan dengan keimanan manusia terhadap perkara-perkara ghaib. Keimanan terhadap perkara-perkara ghaib akan membantu manusia membuat keputusan yang PALING TEPAT. Keadaan semasa msyarakat membuktikan fakta ini apabila berlakunya jenayah kolar putih, sebagai merujuk kepada jenayah yang dilakukan oleh mereka yang mempunyai jawatan tinggi dan daripada bidang-bidang profesional.

Sebagai contoh, ribuan jurutera terlibat dengan rasuah, sehingga menyebabkan kerugian dan kemalangan nyawa. Padahal seseorang jurutera profesional itu sudah semestinya mempunyai kemahiran intelektual yang tinggi.

Dunia mula mengiktiraf akhlak sebagai cabang ilmu yang penting apabila mula memperkenalkan ”Etika dalam profesion”. Malah mula memberi penekanan dan kajian terhadap ”natural justice” apabila konsep ”rule of law” yang diperkenalkan gagal menyelesaikan masalah kezaliman manusia ke atas manusia yang lain mahupun ke atas alam ciptaan Tuhan ini.

Justeru, saya perlu sedar bahawa tugas perjuangan ini telahpun saya pikul seawal nafas saya yang pertama di bumi ini. Ianya akan terus dipikul sehinggalah degupan jantung ini dihentikan oleh Yang Meminjamkan Jantung ini kepada saya. Saya bertanggungjawab terhadap kelangsungan fizikal, emosi, intelek, juga rohani diri saya, juga kelangsungan perjuangan segala jenis haiwan dan tumbuhan di atas muka bumi ciptaan Allah ini.

Secara PANJANG dan LEBAR ulasan mengenai PERJUANGAN ini benar-benar membuka mata saya bahawa saya perlu terus BERJUANG untuk hidup.

Bahkan sebagai seorang yang beriman bahawa TIADA TUHAN YANG LAYAK DISEMBAH MELAINKAN ALLAH, dan NABI MUHAMMAD ITU PESURUH ALLAH, saya harus terus berjuang sehingga saya mati, tidak keterlaluan untuk saya katakan berjuang untuk mati.

Ahad, 14 Mac 2010


BEGITU dalam erti cinta bila manusia menginginkan bahagia, tenang, damai di setiap helaian hamparan kehidupan duniawi. Bahagia dicari sudah pasti bermula dari segala hal baik-baik, tenang digali sudah pasti lahir dari permulaan baik-baik, damai disoroti sudah pasti berada di awal segala hal kebaikan. Penentu bahagia, tenang, damai adalah bermula dari langkah pertama, baik langkah pertama, insha-Allah baiklah langkah-langkah kita seterusnya. Niat, nawaitu... Cinta anugerah Ilahi. Cinta sejati yang datang dari lubuk hati yang dalam, itu yang dicari. Cinta pada Ilahi adalah tunggak segala-galanya. Apabila ianya kukuh di jiwa, tiada lagi masaalah yang melanda. Cinta adalah satu kuasa dalaman, satu kuasa untuk diri mengubah keadaan. Cinta suci lahir dari hati yang kudus, bersih dari segala kekotoran dalaman dan luaran. Ramai manusia diserang masalah berkaitan hati, cinta diraih sering kali gagal. Kadang-kadang kita juga sering salahkan takdir, sedangkan kita sebenarnya gagal menempatkan hati pada langkah pertama lagi. Mengalami masalah hati dan jiwa setiap hari, tapi tidak jumpa solusi yang pasti, selalu membuat kesimpulan gunakan hati (nafsu), bukan berdasarkan al-Quran dan al-Hadith. Semua insan di dunia inginkan kesenangan dan kebahagiaan. Justeru, kekadang bila kita melalui hari dengan mudah pada satu-satu hari, rasa bersyukur teramat sangat. Manakan tidak, setiap hari sebelum memulakan hari baru, kita (niat) sentiasa berdoa demi kebaikan sepanjang hari pada hari tersebut, bermula pada langkah pertama. Kekadang kita terlalu takut jika Allah Taala tidak menyayangi kita, bilamana kita tidak ditimpakan ujian walau sebutir zarah pada hari-hari yang kita hadapi. Ujian ini, bukan untuk menakutkan diri, tapi mencari hikmah tersembunyi. Berterima kasihlah kepada Allah Taala kerana masih ditarbiah hati ini. Cinta melulu hanyalah cinta orang yang lemah iman. Itulah yang berlaku dalam kehidupan kita selama ini. Terlalu sayang, sayang sangat-sangat hingga bisu untuk menegur kesalahan, sudah ketara, tapi buat-buat lupa, sudah tahu dan nyata, tetapi pura-pura buat buta. Hinggakan diri sendiri pun terikut-ikut dan sama-sama jadi buta, gelap gelita. Ya, bila ujian Allah Taala datang mendidik diri, baru sedar, baru terngadah. Tapi syukur Allah Taala datangkan jua rasa redha di hati ini. Mujurlah jua Allah Taala tunjukkan jalan mengajar hati redha, terima hakikat. قَدۡ أَفۡلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا( ) وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسهَا Allah Taala berfirman, bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)” asy-Syam (91:9-10) Pasti kalian pernah merasai saat genting ini. Ada yang selepas berumahtangga, pengamalan agama dianggap enteng. Jika dahulu impian ingin membina bait-muslim itu cukup tinggi tetapi apabila ada kelemahan, kekurangan dan kesilapan yang dilakukan, pasangan hanya mengambil langkah berdiam diri hanya kerana cinta, inilah cinta buta tidak nampak akan kesalahan, matlamat pula menghalalkan cara. Bila cinta Tuhan diketepi, bila kasih sayang makhluk mendasari hati, nafsu menjadi raja dalam diri, kalam Tuhan tidak lagi diikuti. Sesungguhnya manusia apabila mencintai makhluk-Nya dan mendahului mereka dari Allah, maka tunggulah janji-Nya. Kadang-kadang untuk menyeru kepada kebaikan agak sukar kerana sesetengah orang akan lebih nampak kepada keburukan. Namun begitu, kita boleh terus berusaha dan istiqamah dalam membuat kebaikan. Kebaikan tidak semestinya melalui lisan, tetapi boleh juga melalui perbuatan. Kadang-kadang apa yang kita buat lebih memberi kesan berbanding dengan apa yang kita cakapkan. Dunia ini adalah madrasah cinta kita cari. Allah Taala sedang mengajar dan mendidik kita. Suatu ketika dulu saya juga pernah mengalami perkara yang sama. Namun di teruskan juga menadah, meminta pertolongan Allah. Allah Taala akan terus mengajar dan mendidik kita dengan syarat kita mahu belajar sama ada dari pengalaman yang kita lalui, muhasabah diri seterusnya belajar ilmu-ilmu Islami. Kita akan sedar, semua ini adalah untuk kebaikan kita juga. Benarlah, cinta suci, bersih lahir pada langkah pertama kita. Baik niat kita, maka baiklah langkah demi langkah kita susuri.